SERDANG: Institusi mufti disaran supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan hukum terutama berkaitan isu sensitif yang boleh menimbulkan kegusaran dan polemik dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pihaknya sentiasa menghormati penjelasan hukum dikeluarkan mufti, namun ia mestilah disertakan dengan hujah yang konkrit bersama jalan penyelesaian.
“Saya ingat isu ini boleh dijadikan satu pengajaran. Saya mengharapkan sudah tentu dalam isu persoalan hukum, mufti diberi kuasa dan ada kelayakan untuk mengeluarkan pandangan.
“Mengenai isu ini (hukum bekerja di bank konvensional), ia tak dirujuk kepada menteri dan dikeluarkan begitu sahaja. Saya harapkan sahibus samahah, walaupun pandangan mereka dihormati, tetapi dalam masa sama perlu lebih berhati-hati.
“Kedua, bila keluarkan satu-satu pandangan, biar habis, jangan tergantung begitu sahaja. Jadi saya harapkan mana mana mufti, dengan kuasa dan tanggungjawab diberikan, bila mana satu pandangan dikeluarkan, janganlah sampai menimbulkan kegusaran awam dan perlu bagi solusi mengenai kedudukan isu itu,” katanya pada Majlis Konvokesyen ke-16 Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Yang turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mohd Nizam Yahya dan Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Profesional Baitulmal Sdn Bhd, Dr Yusri Mohamad.
Dalam jawapan mengenai hukum bekerja di bank konvensional, beliau berkata, kakitangan institusi perbankan terbabit disarankan mencari pekerjaan halal lain kerana sektor itu terbabit dengan riba.
Mengulas lanjut, katanya, galakan untuk mufti mengemukakan pandangan amat diraikan, namun ia mestilah bersifat tuntas dan tidak menimbulkan kecelaruan atau pertikaian lanjut.
“Bila kita cakap orang Islam tidak boleh bekerja di bank konvensional, alternatif (penyelesaiannya) pula bagaimana. Biarlah pandangan dikeluarkan itu mengambil kira semua keadaan. Selain itu diharapkan pandangan terbabit (mengemukakan) solusi sehingga ke penghujungnya, sehingga tidaklah kita pun tertanya-tanya apakah bentuk penyelesaian yang di sarankan,” katanya.
Tambahnya, walaupun sesuatu pandangan itu bersifat nasihat, golongan mufti perlu sedar apa sahaja yang dikeluarkan itu akan dirujuk.
“Pandangannya itu mungkin tidaklah sampai ke tahap fatwa, ia lebih kepada pandangan atau nasihat. Tetapi golongan mufti ini apabila mereka keluarkan sesuatu pandangan, orang akan ingat perkara itu sebagai satu fatwa. Ini yang selalu terjadi,” katanya.
Berita Harian / 20 Januari 2024