‘Utamakan Program Pupuk Keimanan, Ketakwaan Menjelang Ramadan’- Mohd Na’im

‘Utamakan program pupuk keimanan, ketakwaan menjelang Ramadan’ – Mohd Na’im

Nilai: Pihak yang bercadang menganjurkan sebarang program sosial membabitkan penyertaan masyarakat Islam perlu mengambil kira kepentingan dan kesucian agama itu terutama menjelang Ramadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, keutamaan harus diberikan kepada aktiviti yang mampu memupuk keimanan dan ketakwaan kepada umat Islam, lebih-lebih lagi dalam suasana menyambut ketibaan Ramadan.

“Sebagai orang Islam, penggiat seni atau sesiapa, perlu ada sikap untuk menghormati bulan Ramadan kerana bulan Ramadan atau yang membawa kepada bulan yang mulia itu, perlu memperbanyakkan program yang membawa kepada mengukuhkan lagi keimanan dan ketakwaan.

“Sebagai contoh, program yang baik ialah menganjurkan program Solat Subuh Seperti Solat Jumaat (dari segi jumlah kehadiran jemaah).

“Program seperti ini kita dokong kerana ia boleh membawa masyarakat Islam lebih dekat kepada Allah SWT.

“Kita hendak membina sebagaimana disebut madrasah Ramadan dan bila keluar sahaja Ramadan, kita akan keluar sebagai orang-orang yang bertakwa, jadi sudah tentu program-program yang hendak dilaksanakan termasuk sebelum Ramadan semestinya menjurus kepada membina masyarakat Islam yang bertakwa.

“Jika ada isu atau perbezaan pandangan, sebaik-baiknya kita duduk semeja berbincang,” katanya kepada media selepas menyampaikann syarahan Malaysia Harmoni Siri 1 2024 di Universiti Sains Islam Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkaitan penganjuran konsert ‘Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza’ yang bakal dijayakan penyanyi terkenal itu pada 9 Mac depan.

Dr Wan Salim dilaporkan berkata, beliau tidak sama sekali mempertikaikan niat atau tujuan di sebalik penganjuran konsert berkenaan sebaliknya hanya memfokus kepada tarikh konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza itu berlangsung yang terlalu hampir dengan Ramadan.

Media sebelum ini melaporkan Siti Nurhaliza nekad meneruskan penganjuran konsert terbabit yang dijadual berlangsung tiga hari sebelum Ramadan.

Menerusi kenyataan rasmi Yayasan Nurjiwa yang turut dinaungi Siti Nurhaliza, konsert itu diadakan bagi mengumpul dana untuk disalur kepada mangsa perang di Palestin yang memerlukan bantuan segera.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang bentuk program perlu sensitif.

“Isu keagamaan ini sangat sensitif dan jika ia membabitkan isu hukum dalam agama, kita ada mufti sebagai rujukan, namun mufti juga perlu berhati-hati dalam memberikan pandangan.

“Mufti perlu mengambil kira semua aspek terhadap pandangan diberikan supaya pandangan itu tidak menimbulkan kegusaran di dalam kalangan masyarakat.

“Dan pandangan yang diberikan itu mesti menyelesaikan masalah dan bukannya tergantung,” katanya.

Harian Metro/ 22 Januari 2024

Selamat Datang, Welcome