MAIWP pantau Pungutan Zakat Elak Penyelewengan

KAMPAR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melaksanakan pemantauan rapi bagi mengelak berlakunya sebarang insiden penyelewengan wang kutipan zakat seperti yang terjadi terhadap beberapa institusi zakat lain.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Fauzi Abidin berkata, bagi mengelak kejadian tersebut berlaku, beberapa langkah diambil termasuklah tidak melantik terlalu ramai ejen zakat.

Menurutnya, tanggungjawab untuk mengutip zakat diberikan sepenuhnya kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-MAIWP.

“Kita sentiasa memastikan supaya tidak ada unsur-unsur yang membolehkan masyarakat kita menyalahgunakan tugas mereka sebagai amil. Kita mengambil pengalaman dan pengajaran di negeri-negeri yang terlibat (dengan isu penyelewengan kutipan zakat), supaya dalam hal ini kita sentiasa melakukan tindakan perlu untuk kebaikan masa akan datang.

“Kita bimbang persepsi masyarakat jika berlaku ketirisan sedemikian, ia akan memberi kesan besar kepada umat Islam di seluruh Malaysia. Oleh itu, kita cuba yang sebaik mungkin supaya tidak berlaku perkara-perkara yang sedemikian,” katanya kepada pemberita ketika Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bersama Akademi Darul Quran Darul Huffaz di Taman Bandar Baru, di sini pada Isnin.

Hadir sama Pengurus Pembangunan Sumber Manusia MAIWP, Farizah Kamarudin dan Mudir Akademi Darul Quran Darul Huffaz Kampar, Ahmad Fakhrur Razi Ahmad Mahfuz.

Mohd Fauzi berkata, MAIWP juga telah membuat tapisan terhadap individu yang disenaraikan sebagai amil selain menggalakkan orang ramai menunaikan zakat masing-masing menerusi pembayaran secara dalam talian.

Media sebelum ini melaporkan insiden penyelewengan kutipan wang zakat sebanyak RM9.62 juta melibatkan sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Dalam perkembangan lain, Mohd Fauzi turut menyempurnakan penyampaian sumbangan CSR kepada Akademi Darul Quran Darul Huffaz Kampar berjumlah RM19,000 yang dikumpul daripada PPZ-MAIWP, Yayasan Taqwa dan masjid-masjid di Kuala Lumpur.

Program CSR itu adalah sebahagian daripada kursus Effective Leadership and Interpersonal Skills (ELIS) Siri Ketiga yang diadakan melibatkan pegawai-pegawai kanan MAIWP.

Jelas Mohd Fauzi semasa acara penutup program tersebut, ELIS merupakan program latihan lapan hari yang diwajib kepada pegawai-pegawai MAIWP bagi mempersiapkan mereka dengan kemahiran dan semangat juang yang tinggi.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, peserta akan melalui latihan lasak selain didedahkan dengan pelbagai kemahiran seperti pengucapan awam, forum dan komunikasi berimpak tinggi.

Sinar Harian, 22 Januari 2024

Selamat Datang, Welcome