Syarahan Malaysia Harmoni di Dewan Senat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Saya menyampaikan Syarahan Malaysia Harmoni di Dewan Senat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Penganjuran program Syarahan Malaysia Harmoni seperti hari ini adalah tepat pada waktunya untuk kita membangkitkan kesedaran semua pihak akan hakikat kepentingan asas keamanan dan perpaduan dalam proses pembinaan negara.
Di saat sesetengah pihak cuba memberikan lakaran buruk kepada agama Islam dan umat Islam, negara Malaysia perlu terlebih dahulu tampil menyerlahkan keindahan serta kesyumulan Islam. Agama yang rahmah, santun serta madani yang menjulang tinggi nilai kesederhanaan serta kemanusiaan. Gejala Islamophobia mesti ditangani dengan penuh berhemah serta berstrategi.
Kita perlu kembali kepada asas pembinaan masyarakat yang patriotik melalui penghayatan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara serta pengukuhan ekosistem perpaduan dan keharmonian.
Saya ingin mengesyorkan agar kursus Pendidikan Keamanan (Peace Studies) diperkenalkan kepada para mahasiswa. Di universiti-universiti Eropah, kursus pendidikan keamanan mula popular dikembangkan kepada para pelajar.
Saya meyakini bahawa pengenalan kursus sebegini dapat membangunkan penghayatan kepentingan keamanan di kalangan generasi muda dan masyarakat.
Institusi masjid dan surau juga perlu diangkat peranannya sebagai pusat penyatuan ummah serta menyemai semangat berkasih sayang serta bertoleransi umat Islam dalam konteks bermasyarakat.
Tahniah setingginya kepada pihak Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifuddin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, Prof Dato’ Dr Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor USIM, Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Salleh dan seluruh peserta program.

Selamat Datang, Welcome