KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKENAAN PENGANJURAN INTERNATIONAL CONFERENCE OF RELIGIOUS LEADERS 2024 DAN MAJLIS ULAMA ASIA 2024

1.​ Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Liga Dunia Muslim (Muslim World League), Arab Saudi (Rabitah al-Alam al-Islami) akan menganjurkan International Conference Of Religious Leaders 2024 pada 7 Mei 2024 (Selasa) 8.30 pagi hingga 5.00 petang di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor dan Majlis Ulama Asia 2024 pada 8 Mei 2024 (Rabu) 8.00 pagi hingga 2.00 petang di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Persidangan ini adalah berkesinambungan dari Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 pada 30 Jun 2022 yang lalu. Bahasa pengantar yang akan digunakan dalam persidangan ini adalah Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.
2.​ Objektif utama penganjuran kedua-dua program ini adalah untuk membangun wawasan tamadun bersama bagi menyatukan nilai kesederhanaan dan perpaduan, menangani ancaman pemikiran ekstremis dan mengubah konflik kepada persefahaman, kerjasama dan perpaduan.
3.​ YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia akan menyampaikan Ucapan Perasmian International Conference Of Religious Leaders 2024 pada 7 Mei 2024 (Selasa) jam 12.00 tengah hari di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor. Tetamu lain yang akan hadir persidangan ini adalah YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri. Selain itu, TYT Dr. Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa, Setiausaha Agung Muslim World League, YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Menteri-Menteri Kabinet dan Duta-Duta Negara Asing.
4.​ Tema persidangan International Conference Of Religious Leaders 2024 pada 7 Mei 2024 adalah Kesatuan Dalam Kepelbagaian (Unity Within Diversity). Seramai 1500 peserta dijangka akan menghadiri persidangan ini yang terdiri daripada para ulama, cendekiawan, pemimpin politik, ahli parlimen, ahli akademik dan tokoh-tokoh pemimpin agama Islam dan bukan Islam dari dalam dan luar negara dari lebih dari 50 buah negara yang dijemput.
5.​ Objektif penganjuran International Conference Of Religious Leaders 2024 adalah untuk memupuk semangat keharmonian dalam kalangan penganut pelbagai agama. Memupuk asas yang kukuh berpaksikan teras MADANI agar bersesuaian dengan realiti semasa masyarakat berbilang agama agar masyarakat berinteraksi dengan harmoni bagi mengekalkan kerukunan dan perpaduan hidup bermasyarakat.
6.​ Selain itu, ianya juga bertujuan untuk merapatkan hubungan kemanusiaan, mengelakkan jurang kefahaman, memupuk keharmonian, membina permuafakatan, mengukuhkan persahabatan serta kerjasama antara negara dan rakyat, menekankan peranan agama dalam mempromosikan keamanan ke arah menangani dan menyelesaikan semua bentuk konflik yang membawa kepada perpecahan. Keganasan tidak harus diletakkan kepada mana-mana agama kerana semua agama menolak keganasan.
7.​ Agenda utama persidangan ini adalah ucapan-ucapan dari pemimpin pelbagai agama dan cendekiawan dari Malaysia dan luar negara, Ucapan Aluan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Menteri-Menteri Kabinet, Ucapan oleh TYT Dr. Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa, Setiausaha Agung Muslim World League dan kemuncaknya adalah ucapan perasmian oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
8.​ Manakala tema persidangan Majlis Ulama Asia 2024 pada 8 Mei 2024 pula adalah Perpaduan (Unity). Seramai 200 peserta dijangka akan menghadiri persidangan ini yang terdiri daripada para ulama Islam dari dalam negara dan juga dari negara-negara Asia.
9.​ Objektif penganjuran Majlis Ulama Asia 2024 adalah untuk memupuk perpaduan dan nilai-nilai murni serta menghormati perbezaan pelbagai dimensi dari sudut berdasarkan teras MADANI, teologi dan sosiologi. Nilai kesederhanaan (wasatiyyah) dalam berhadapan dengan pelbagai fahaman dalam mazhab dan tidak menjadikannya sebagai ketakutan, kebencian atau konflik.
10.​ Agenda utama majlis ini adalah ucapan-ucapan dari beberapa intelektual Islam, Ucapan Aluan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Ucaptama oleh TYT Dr. Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa, Setiausaha Agung Muslim World League. Majlis Penutup Majlis Ulama Asia 2024 akan disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri.
11.​ Masyarakat awam boleh menonton liputan penuh siaran langsung International Conference Of Religious Leaders 2024 di FB Page JAKIM dan juga siaran langsung ucapan perasmian International Conference Of Religious Leaders 2024 oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia di TV1 RTM dan TV Alhijrah pada 7 Mei 2024 jam 12.00 tengah hari.
12.​ Semoga dengan penganjuran International Conference Of Religious Leaders 2024 dan Majlis Ulama Asia 2024 ini akan mencapai matlamat yang ditetapkan serta dapat menerapkan mesej agenda Malaysia Madani dan Transformasi al-Falah ke arah memartabatkan Islam di mata dunia.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
5 Mei 2024

Selamat Datang, Welcome