KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKENAAN ISU PENUKARAN AGAMA SECARA UNILATERAL

1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah menolak permohonan kebenaran rayuan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Mufti Perlis dan Kerajaan Negeri Perlis terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan pengislaman 3 anak Loh Siew Hong yang berumur di bawah 18 tahun sebagai berperlembagaan.
2. Susulan penolakan permohonan kebenaran itu, 3 orang anak kepada Loh Siew Hong tersebut adalah kekal beragama Hindu.
3. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga menjunjung kasih Titah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis Tuanku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang jelas menzahirkan kebijaksanaan DYTM Tuanku dalam perkara ini.
4. Saya percaya penghakiman yang dibuat adalah berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan Yang Amat Arif Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian yang terbaik bagi maslahat semua pihak sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam.
5. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui JAKIM telah pun mengusulkan kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dipengerusikan oleh YABhg. Tun Dato’ Seri Zaki bin Tun Azmi untuk diperhalusi perkara-perkara berkaitan pendaftaran pengislaman agar dapat diharmonikan dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
6. Saya menyeru agar semua umat Islam di negara ini dan seluruh rakyat Malaysia umumnya agar bertenang dan tidak memberikan ulasan atau pandangan yang boleh mencetuskan suasana yang tidak sihat yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian dalam negara kita yang tercinta ini.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
15 Mei 2024

Selamat Datang, Welcome