KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN BANTUAN INSENTIF KHAS KEPADA ASNAF MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN (MAIWP) SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA

1. ​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin memaklumkan bahawa bersempena menjelangnya Hari Raya Aidil Adha, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Insentif Khas kepada asnaf MAIWP di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
2. Bantuan Insentif Khas tersebut adalah berjumlah RM500.00 yang akan diberikan kepada seramai 32,300 orang asnaf penerima bantuan zakat MAIWP yang terdiri daripada kategori asnaf Fakir, Miskin, Muallaf dan Ar-Riqab.
3.​ Dalam hal ini, secara keseluruhannya, MAIWP telah memperuntukkan sebanyak RM16,150,000.00 (Ringgit Malaysia: Enam Belas Juta Satu Ratus Lima Puluh Ribu Ringgit Sahaja) daripada wang kutipan zakat yang diterima untuk diagihkan bagi membolehkan para asnaf membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidil Adha bersama keluarga tersayang.
4.​ Adalah dimaklumkan bahawa Bantuan Insentif Khas ini akan dikreditkan ke dalam akaun penerima selewat-lewatnya pada 14 Jun 2024.
5.​ Semoga wang zakat yang dibayar oleh para pembayar zakat melalui Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) akan mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wataala.
6.​ Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui MAIWP akan sentiasa berusaha dari masa ke semasa menyantuni keperluan serta kebajikan asnaf di Wilayah Persekutuan dengan sebaik-baiknya.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. MOHD NA’IM HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
30 Mei 2024

Selamat Datang, Welcome