Seminar Keluarga Madani “Keluarga Madani Asas Kesejahteraan Ummah”

Pagi ini saya merasmikan program Seminar Keluarga Madani “Keluarga Madani Asas Kesejahteraan Ummah” bertempat di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya bersempena Sambutan Jubli Emas ke 50 Tahun Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Keluarga merupakan unit kecil yang menjadi asas dalam pembentukan masyarakat yang melahirkan generasi berkualiti seterusnya membina sebuah negara yang sejahtera.
Dalam konteks ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui JAWI secara khususnya telah mengambil tindakan sewajarnya untuk memantapkan kefahaman serta program keilmuan pembinaan Keluarga Madani kepada masyarakat seperti majlis kita pada hari ini.
Usaha-usaha perlu dilakukan untuk memantapkan institusi kekeluargaan madani.
Antaranya Institusi masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan perlu terus memperkukuh peranan untuk menyatu serta membina potensi keluarga dengan penganjuran program-rogram kerohanian dan kekeluargaan.
Dalam hal ini, JAWI telah menyediakan perkhidmatan khidmat nasihat dan runding cara kekeluargaan di pejabat JAWI.
Selain turut menyediakan Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) di UTC Pudu Sentral, UTC Keramat, Surau Al-Iman Presint 9 dan Surau Al-Furqan Presint 11, Putrajaya bagi memudahkan orang awam mendapatkan khidmat nasihat dan runding cara mengenai pelbagai aspek kehidupan merangkumi isu perkahwinan, perceraian dan ruju’ serta permasalahan lain.
JAWI juga menubuhkan Anjung Khidmat Keluarga JAWI (AKUAJA) bertempat di Masjid Usamah, Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang mempunyai fungsi dan peranan yang sama seperti Pusat Khidmat Keluarga Sosial dan Komuniti (PKKSK).
JAKIM juga ada menyediakan perkhidmatan KSKCare Centre (KSKCC) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya menggunakan pendekatan kaunseling syarie, psikospiritual Islam dan ilaj syarie.
Selain di Masjid Tuanku Mizan, JAKIM juga bekerjasama dengan Kolej Dar Al-Hikmah Sg. Ramal Kajang, Masjid Al-Azim Melaka, UTM Skudai dan Hospital Sg Buloh atas dasar taawun (kerjasama) menyediakan perkhidmatan KSKCare Centre bagi memudahkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan tersebut.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus melaksanakan program-program pembangunan keluarga madani.

Selamat Datang, Welcome