Hari ini saya berada di Masjid Wilayah Persekutuan menjayakan program khas “Tanyalah Ustaz : Akad 40” anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Media Prima Berhad bersempena ulang tahun ke-50 penubuhan JAWI dan ulang tahun TV3 yang ke-40.
Program ini amat bersejarah kerana “Akad 40” itu adalah simbolik kepada penyatuan pasangan bakal pengantin yang kurang berkemampuan dalam satu majlis istimewa.
Ini adalah kolaborasi yang amat baik antara Media Prima Berhad bersama JAWI dalam menzahirkan usaha membantu dan meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan termasuk muallaf untuk melangsungkan perkahwinan.
Ini adalah gagasan besar Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk membentuk keluarga sakinah dan mawaddah yang menjadi pemangkin kepada kekuatan generasi Islam.
Pada masa program ini adalah salah satu usaha menonjolkan nilai-nilai rahmah dan kasih sayang dalam komuniti masyarakat.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus berperanan untuk menyokong program pembangunan keluarga ke arah pengukuhan pembentukan masyarakat madani.
Tahniah saya ucapkan kepada JAWI dan Media Prima Berhad kerana menjalinkan kerjasama strategik bagi menjayakan aspirasi murni ini.