Saya hadir merasmikan Persidangan Pengurusan Masjid dan Surau dan Majlis Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan dan Tauliah Amil Fitrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2024M bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan tengahari tadi.
Dalam majlis tadi, saya telah mengumumkan pemberian bantuan Ihya’ Ramadan MAIWP dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM19,030,000.
Sumbangan ini akan diagihkan kepada 92 masjid, 138 Surau Jumaat dan 641 surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Ia menjumlahkan sebanyak 871 buah rumah ibadah umat Islam semuanya.
Perincian agihan sumbangan ini adalah sebagaimana berikut:
i) Setiap Masjid akan menerima sumbangan berjumlah RM30,000.00 berbanding RM15,000.00 pada tahun lalu.
ii) Surau Jumaat pula akan menerima RM25,000.00 berbanding RM12,500.00 pada tahun lalu.
iii) Manakala Surau biasa akan menerima sumbangan berjumlah RM20,000.00 berbanding RM11,000.00 pada tahun lalu.
Semoga dengan pertambahan Bantuan Ihya’ Ramadan yang diterima pada tahun ini, ditambah pula dengan sumbangan ahli kariah akan menjadikan seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan meriah, ceria dan berseri dengan pengisian-pengisian program pengimarahan dan aktiviti ibadah, kebajikan dan kemasyarakatan di sepanjang bulan Ramadan nanti.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa berusaha untuk membantu masyarakat yang memerlukan.
Dalam konteks Wilayah Persekutuan, MAIWP akan menyalurkan 𝘽𝙖𝙣𝙩𝙪𝙖𝙣 𝙆𝙝𝙖𝙨 𝙋𝙚𝙧𝙨𝙚𝙙𝙞𝙖𝙖𝙣 𝙍𝙖𝙢𝙖𝙙𝙖𝙣 sebanyak 𝗥𝗠𝟱𝟬𝟬.𝟬𝟬 secara one-off kepada 𝟑𝟐,𝟐𝟓𝟎 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐩𝐞𝐧𝐞𝐫𝐢𝐦𝐚 𝐁𝐚𝐧𝐭𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐰𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐁𝐮𝐥𝐚𝐧𝐚𝐧 𝐝𝐢 𝐖𝐢𝐥𝐚𝐲𝐚𝐡 𝐏𝐞𝐫𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐮𝐚𝐥𝐚 𝐋𝐮𝐦𝐩𝐮𝐫, 𝐋𝐚𝐛𝐮𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐏𝐮𝐭𝐫𝐚𝐣𝐚𝐲𝐚 dengan melibatkan jumlah peruntukkan sebanyak RM16.125 juta.
Alhamdullillah, bantuan Khas Persediaan Ramadan ini disalurkan pada hari ini, 5 Mac 2024 kepada akaun penerima.
Semoga dengan bantuan ini dapat meringankan beban para asnaf di Wilayah-Wilayah Persekutuan dalam menyambut Ramadan Al-Mubarak.