Sempena lawatan kerja saya ke Negeri Perlis, hari ini saya telah turun Ke Sekolah Kebangsaan Tambung Tulang Arau Perlis, sempena majlis penyerahan sumbangan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2024, Peringkat Negeri Perlis.
Melalui program anjuran Yayasan Taqwa-MAIWP dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis pada hari ini, seramai 600 orang pelajar yang datang dari kalangan Asnaf dari seluruh Negeri Perlis akan menerima sumbangan bantuan persekolahan bernilai RM152.80 berupa beg sekolah, alat tulis dan wang tunai RM100.00 untuk setiap seorang dengan menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM91,680.00 melalui Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2024, Peringkat Negeri Perlis.
Turut hadir, Yang Berusaha Tuan Haji Che Rasaidi Bin Che Yob, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Mewakili Pengarah Pendidikan Perlis, Yang Berusaha Tuan Haji Zabidi Bin Nasan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa-MAIWP, para pegawai pendidikan JPN Perlis, guru-guru serta para pelajar penerima sumbangan.
Saya selaku Menteri Agama, telah meletakkan teras khusus iaitu Teras Kesejahteraan Insan dalam Pelan Transformasi Al-Falah untuk dilaksanakan oleh agensi-agensi hal ehwal Islam bagi menyantuni masyarakat yang berada dalam kesusahan.
Semoga sumbangan yang disalurkan ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada ibu bapa dalam menyiapkan persiapan persekolahan anak-anak dan berharap agar para pelajar khususnya penerima sumbangan pada hari ini mendapat motivasi untuk terus belajar untuk menjadi anak yang baik lagi cerdik (ABC) dan seterusnya berjaya dalam pelajaran.