KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKENAAN KESELAMATAN JEMAAH HAJI DAN UMRAH MALAYSIA SUSULAN KETEGANGAN IRAN-ISRAEL

1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memantau situasi terkini di Timur Tengah susulan serangan balas Iran terhadap Israel semalam.
2. Serangan balas itu sudah tentu meningkatkan ketegangan yang sudah pun berlarutan sejak lebih 7 bulan lalu akibat kedegilan dan kekejaman rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin yang tidak berdosa.
3. Berhubung keselamatan para jemaah haji dan umrah dari Malaysia susulan ketegangan yang berlaku, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan bekerjasama rapat dengan agensi Kerajaan seperti Wisma Putra, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) termasuk Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi memastikan keselamatan jemaah haji dan umrah Malaysia terjamin berikutan perkembangan semasa ini.
4. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin memaklumkan bahawa setakat ini, Tabung Haji masih meneruskan persiapan bagi Musim Haji 2024 seperti yang dirancang.
5. Semua pihak adalah dimohon untuk terus bertenang serta sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa dari semasa ke semasa untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
14 April 2024

Selamat Datang, Welcome