Patik merafak sembah, menjunjung setinggi-tinggi kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas limpah perkenaan berangkat bercemar duli ke majlis mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci pada hari ini.
Lembaga Tabung Haji mengurus seramai 31,600 orang jemaah haji yang telah dan akan berlepas dengan menggunakan 100 penerbangan sewa khas haji terus ke Tanah Suci, bermula 9 Mei 2024 yang lalu.
Pada hari ini, seramai 282 orang bakal haji akan berlepas ke
Makkah Al Mukarramah. Ini merupakan penerbangan haji yang ke-55 dan sehingga hari ini, seramai hampir 16,000 orang Jemaah Haji Malaysia sudah pun selamat sampai dan berada di Kota Suci Madinah dan Makkah.
Adalah menjadi harapan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) seluruh bakal haji negara Malaysia dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada amal ibadat sepanjang berada di Tanah Suci nanti.
Pihak Tabung Haji juga sentiasa diperingatkan supaya
memberikan perkhidmatan terbaik untuk menyantuni jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.