KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKENAAN PELEPASAN KE TANAH SUCI BAGI KUMPULAN PERTAMA BAKAL HAJI MALAYSIA MUSIM HAJI 1445H/2024M

1.​ Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin memaklumkan malam ini kumpulan pertama bakal haji Malaysia bagi Musim Haji 1445H/2024M seramai 282 orang daripada negeri Kedah dan Kelantan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini untuk berlepas menerusi penerbangan sulung ke tanah suci pada tengah malam Khamis, 9 Mei 2024.
2.​ Penerbangan tersebut dijadualkan berlepas pada jam 12.05 tengah malam (9 Mei) dari KLIA dengan pesawat Malaysia Airlines MH 8050 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada jam 3.50 pagi waktu tempatan pada hari yang sama.
3.​ Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin memberikan nasihat kepada semua bakal haji untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada amal ibadat sepanjang berada di tanah suci nanti. Ini adalah kerana terpilih sebagai Dhuyufurrahman untuk mengunjungi Baitullah adalah anugerah terindah dari Allah SWT bagi menyempurnakan ibadah rukun Islam kelima.
4.​ Pada masa sama, oleh kerana cuaca di Tanah Suci dijangka panas, mencecah hampir 50 darjah celcius, para bakal haji dinasihatkan untuk menjaga kesihatan dan kebersihan diri selain mengikuti segala nasihat yang disarankan pihak TH agar semua amalan haji dapat dilaksanakan dengan mudah dan lancar.
5.​ Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar perjalanan semua bakal haji dipermudahkan oleh Allah SWT dan dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna serta pulang dengan haji yang mabrur. Semua bakal haji adalah dipohon untuk sentiasa menjaga imej dan nama baik negara dengan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa Arab Saudi dan peraturan yang digariskan TH bagi menjamin keselamatan jemaah serta melicinkan proses mengerjakan haji.
6.​ Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi kerana masih meneruskan program ‘Makkah Route’ yang membolehkan urusan imigresen Arab Saudi dilaksanakan semasa di KLIA lagi, sekaligus memendekkan waktu menunggu para bakal haji setibanya di Lapangan Terbang Arab Saudi nanti.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
8 Mei 2024

Selamat Datang, Welcome