Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, sewajarnya Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam ini mengambil posisi mempertahan serta menjelaskan kedudukan sebenar hukum-hakam kepada rakyat.
“Bukan sebaliknya memberikan amaran kepada mufti supaya tidak mencetuskan polemik. Jawapan Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan hukum bekerja di bank konvensional tersebut sudah cukup lengkap dan boleh difahami.
“Khususnya kekangan seseorang untuk mendapatkan kerja lain. Namun, kekangan yang dimaksudkan itu tidaklah sampai menghilangkan hukum asal bekerja di bank yang terlibat dengan aktiviti riba.
“Bukanlah hasrat para mufti menjawab soal hukum sekadar untuk menambah kekeliruan dalam masyarakat kerana yang haram dan halal itu jelas dalam agama. Ironinya, Menteri Agama sebaliknya menganggap ia sekadar polemik yang dicetuskan oleh para mufti.
“Adakah Menteri Agama sudah meneliti jawapan penuh Mufti atau sekadar bersandarkan kepada laporan separuh masak? Adakah jawapan hukum agama sedemikian yang tidak seiring dengan pendirian juga dianggap sebagai mencetuskan polemik?
“Dewan Ulamak PAS bimbang jika keadaan begini berterusan hanya akan mengikis keyakinan terhadap autoriti institusi agama dalam negara, apatah lagi dalam keadaan isu-isu agama semakin dipinggirkan,” ujarnya.
Menteri Agama peringat beliau, wajar mengambil sikap memperbetulkan semula pandangannya terhadap jawapan mufti berkenaan serta melakukan kerjasama rentas Kementerian.
Iaitu menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, bagi menyediakan solusi kepada isu tersebut, bukan sebaliknya menyalahkan para mufti yang memberikan fatwanya.
Harakah Daily / 22 Januari 2024