KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKENAAN SOKONGAN PENUH KEPADA KETEGASAN YAB PERDANA MENTERI DALAM MEMBANGKITKAN ISU PALESTIN

1.​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menyatakan sokongan penuh kepada ketegasan yang disuarakan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai isu Palestin ketika melakukan lawatan kerja rasmi di Jerman.
2.​Pendirian tegas tersebut wajar diberi pujian kerana ia memberi cerminan bahawa Malaysia amat serius dalam menentang kekejaman oleh pihak rejim Zionis Israel di bumi Palestin.
3.​Pendirian Malaysia ini telah berulang kali ditegaskan termasuk di pentas antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Penindasan terhadap rakyat Palestin di Gaza telah berlarutan puluhan tahun lamanya dan sejak itu Malaysia tidak berganjak dengan pendirian sama.
4.​Lebih 30,000 rakyat Palestin telah terkorban, manakala lebih 73,000 cedera akibat kezaliman rejim Zionis Israel sejak Oktober lalu. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru seluruh rakyat termasuk masyarakat dunia untuk terus mengutuk tindakan Israel dan menggesa agar serangan tersebut dihentikan.
5.​Bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya meminta pengurusan masjid-masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk melaksanakan Solat Hajat. Masjid dan Surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah diminta untuk melaksanakan Solat Hajat.
6. ​Bulan Ramadan kali ini perlu diambil peluang buat umat Islam seluruh dunia untuk terus berdoa agar rakyat Palestin dilindungi. Sesungguhnya, doa itu adalah senjata umat Islam dalam mendapat keredhaan dan perlindungan daripada Allah SWT.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
16 Mac 2024

Selamat Datang, Welcome