KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKENAAN PELANCARAN PROGRAM MAKKAH ROUTE BAGI MUSIM HAJI 1445H/2024M

1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin memaklumkan bahawa malam ini telah disempurnakan Pelancaran Makkah Route bagi Musim Haji 1445H/2024M di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pelaksanaan program yang telah memasuki tahun keenam pelaksanaannya, akan mengukuhkan lagi hubungan Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Arab Saudi.
2. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, TYT Mesaad Ibrahim Al Sulaim dan juga kepada Kerajaan Arab Saudi atas kepercayaan yang diberikan kerana sekali lagi Malaysia dipilih bagi musim haji tahun ini untuk menyertai program Makkah Route di samping enam buah negara lain iaitu Indonesia, Maghribi, Pakistan, Bangladesh, Ivory Coast dan Turkiye
3. Sebagai makluman, Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang diberikan kepercayaan oleh Kerajaan Arab Saudi melaksanakan Makkah Route melalui program perintisnya pada tahun 2017. Ia kemudian diteruskan dengan program penuh pada tahun 2018, 2019, 2022 dan 2023. Pada tahun ini, Makkah Route telah diperluaskan keenam negara lain.
4. Pemilihan Malaysia sekali lagi pada tahun ini dalam program Makkah Route merupakan satu pencapaian yang membanggakan, di mana ia membuktikan pengiktirafan antarabangsa dan keyakinan pihak Arab Saudi terhadap kecekapan pengurusan operasi haji yang dikendalikan oleh Lembaga Tabung Haji di samping tahap disiplin tinggi di kalangan jemaah haji negara turut menjadi penyumbang kepada faktor pemilihan Malaysia.
5. Pelaksanaan Makkah Route telah banyak membantu mempermudahkan urusan jemaah haji negara kerana setelah melalui penerbangan selama lapan jam, mereka tidak lagi perlu menunggu lama setibanya di Tanah Suci kerana proses pemeriksaan Jabatan Imigresen dan Kastam Arab Saudi telah diselesaikan di KLIA.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
21 Mei 2024

Selamat Datang, Welcome