KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKENAAN MENGIMARAHKAN MADRASAH RAMADAN 1445H

1. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala, nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Esok, umat Islam bakal menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak bagi 1445 Hijrah.
2. Bulan yang suci lagi mulia ini hendaklah diimarahkan dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
3. Marilah bersama-sama kita mengimarahkan bulan Ramadan dengan ibadat puasa, qiyam, solat tarawih, doa, zikir, Tadarus Al Quran, sedekah dan infaq dalam memperkukuhkan iman dan takwa serta meraih keampunan Allah SWT.
4. Saya juga ingin menyeru umat Islam agar melipat gandakan doa, Solat Hajat dan bacaan Qunut Nazilah bagi saudara seagama kita di Palestin agar mereka bebas dari cengkaman rejim Zionis Israel yang kini telah membunuh lebih 30,000 nyawa dan mencederakan lebih 72,000 umat Islam di Gaza.
5. Madrasah Ramadan ini juga harus dijaga kesuciannya, saya mengingatkan kepada semua pendakwah-pendakwah bertauliah di negara ini agar sama-sama mewarnai kesucian bulan Ramadan dengan mengajak lebih ramai umat Islam bersama beribadah di rumah Allah SWT.
6. Begitu juga majlis-majlis ilmu dan agama yang diadakan sepanjang bulan yang mulia ini mestilah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama Islam Negeri.
7. Bulan Ramadan juga menjadi bulan bagi rata-rata rakyat mendapatkan rezeki yang lebih berniaga di bazar-bazar Ramadan seluruh negara. Ingin saya ingatkan juga, agar umat Islam sentiasa bersederhana dan mengelakkan pembaziran makanan sewaktu berbuka puasa nanti.
8. Sesungguhnya, ibadat puasa itu melatih diri untuk taat, sabar dan bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka usahakan.” (Surah al-A’raf, ayat 96)
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
11 Mac 2024

Selamat Datang, Welcome