KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKENAAN KOMENTAR SEORANG TOKOH BERKAITAN PERUNTUKAN PENGURUSAN DAN PEMBANGUNAN HAL EHWAL ISLAM

1.​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil maklum kenyataan yang dibuat oleh seorang tokoh yang secara tidak langsung telah menyentuh tentang peruntukan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa meraikan pendapat tersebut serta berpandangan komentar yang dikemukakan itu adalah bersifat cadangan semata-mata.
2.​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menegaskan bahawa fungsi JAKIM adalah berbeza dengan Kementerian Perpaduan Negara. Kementerian Perpaduan Negara misinya adalah untuk meningkatkan usaha baharu penyatupaduan untuk membina tapak integrasi bagi pengukuhan semangat muhibbah dalam kalangan rakyat. Manakala misi JAKIM pula adalah untuk memperkukuh tadbir urus hal ehwal Islam melalui pendekatan rahmah ke arah kesejahteraan ummah.
3.​ Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sekali lagi ingin memberikan penjelasan bahawa secara keseluruhannya, untuk tujuan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam, sebanyak RM 1.9 bilion telah diperuntukkan pada tahun 2024. Peruntukan tersebut adalah melibatkan kesemua agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) termasuk JAKIM, JAWHAR, JKSM, JAWI, YADIM dan lain-lain. Ini adalah komitmen jitu Kerajaan Madani untuk memperkukuh kedudukan agama Islam yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
4.​​ Secara amnya, JAKIM telah diperuntukan sejumlah RM730 juta kepada Guru KAFA, Guru Takmir dan Imam yang dilantik di seluruh Malaysia yang berusaha bersungguh-sungguh menggerakkan usaha pembangunan insan. Bagi pengoperasian semasa JAKIM pula, sebanyak RM249 juta diperuntukan di bawah perbelanjaan mengurus dan RM50 juta di bawah perbelanjaan pembangunan.
5.​Sejumlah RM150 juta disediakan kepada JAKIM untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan Islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz.
6.​Pada masa sama, Kerajaan Perpaduan memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan sebanyak RM20 ribu kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah JAKIM. Pemberian ini diharap adalah untuk memperkukuh peranan Sekolah Agama Rakyat dalam melahirkan generasi al-falah yang menjadi aset penting kepada pembangunan negara pada masa akan datang.
7.​​Selain itu, sejumlah RM50 juta juga diperuntukan untuk sumbangan khas kepada lebih 70 ribu orang terdiri daripada guru takmir, guru KAFA, imam, bilal, siak, noja dan marbut yang bersungguh-sungguh menggerakkan usaha pembangunan insan.
8.​​Bagi lain-lain Agensi di bawah Sektor Kemajuan Islam dan Pengurusan Kehakiman dan Perundangan, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pula sebanyak RM374 juta diperuntukan bagi tujuan memperkukuh sistem perundangan dan kehakiman syariah.
9.​Usaha ini dilaksana dengan memperkasa Akademi Kehakiman Syariah Malaysia dalam melatih hakim-hakim mahkamah atasan dengan lebih terancang dan berkesan. Peruntukan tersebut diperuntukkan secara bersama dengan pemerkasaan Akademi Kehakiman Malaysia.
10.​Dalam hal ini, peruntukan yang telah diberikan kepada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah bermatlamatkan untuk membangun Malaysia Madani yang menjulang tinggi nilai agama, kesederhanaan serta saling bertoleransi yang akhirnya memberikan manfaat kepada negara.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
30 April 2024

Selamat Datang, Welcome