KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKENAAN KEJADIAN SERANGAN BOM PETROL DI SEBUAH KEDAI SERBANEKA

1. ​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berasa dukacita dengan kejadian serangan bom petrol membabitkan sebuah kedai serbaneka yang terletak di negeri Pahang seperti dilaporkan media tempatan.
2.​ Kejadian jenayah seperti ini perlu diserahkan kepada tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM). Mana-mana pihak yang terlibat dengan kejadian tersebut perlulah dibawa ke muka pengadilan untuk menerima hukuman setimpal. Ia amat perlu bagi memberikan pengajaran kepada semua pihak untuk sentiasa bertanggungjawab memelihara keselamatan serta keharmonian dalam negara.
3.​ Islam adalah agama yang menyeru kedamaian, keselamatan dan keharmonian. Islam melarang sama sekali apa-apa tindakan yang boleh membawa kepada kerosakan dan mengancam keselamatan awam.
4. ​ Semua pihak adalah diseru supaya bertenang serta tidak melakukan apa-apa tindakan yang bercanggah dengan undang-undang. Semua pihak juga perlu menyerahkan urusan siasatan kes ini kepada tindakan pihak berkuasa.
5.​ Perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat perlu dijaga dengan sebaiknya untuk memacu negara dengan agenda Membangun Malaysia Madani.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
31 Mac 2024

Selamat Datang, Welcome