KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKENAAN ISU BERBANGKIT OLEH PIHAK MAJLIS PERUNDINGAN MALAYSIA AGAMA BUDDHA, KRISTIAN, HINDU, SIKH DAN TAO (MCCBCHST)

1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berpandangan adalah tidak wajar pihak Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) beranggapan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Kenyataan MCCBCHST adalah mengelirukan serta boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara.
2.​Untuk memahami isu ini secara tuntas, semua pihak perlu merujuk kepada Fasal (2) Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan yang mana selaras dengan peruntukan tersebut Mahkamah Syariah telah ditubuhkan melalui Akta/Enakmen/Ordinan di Negeri-Negeri. Bagi maksud menangani kesalahan di bawah hukum Syarak, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang beragama Islam dan hanya berkenaan dengan semua perkara yang termasuk dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.
3.​Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan sebagaimana yang dinyatakan dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan. Selaras dengan peruntukan ini, Parlimen telah memperbuat Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang memberikan bidang kuasa jenayah kepada Mahkamah Syariah.
4.​Berdasarkan butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan, antara dua (2) perkara utama yang digariskan adalah seperti yang berikut:
(a) kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang bagi mewujudkan kesalahan dan hukuman bagi kesalahan yang dilakukan oleh orang yang beragama Islam terhadap perintah agama Islam, kecuali berkenaan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; dan
(b) bidang kuasa mengenai hukuman bagi kesalahan yang diperuntukkan dalam undang-undang Negeri hendaklah dalam had yang diberikan oleh undang-undang persekutuan.
5.​Ini bermakna, Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang di Negeri-Negeri bagi mewujudkan kesalahan dan hukuman bagi kesalahan oleh orang yang beragama Islam terhadap perintah agama Islam, kecuali berkenaan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan. Walaupun kesalahan jenayah syariah diperbuat oleh Badan Perundangan Negeri, perlu difahami bahawa hukuman bagi kesalahan yang diperuntukkan dalam undang-undang Negeri hendaklah dalam had yang diberikan oleh undang-undang persekutuan iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
6.​Cadangan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bertujuan untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah dengan menaikkan kadar hukuman yang pada masa ini hanya terhad kepada pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau sebatan tidak melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut. Kadar hukuman ini ditetapkan melalui pindaan yang dibuat pada tahun 1984 melalui Muslim Courts (Criminal Jurisdiction) (Amendment) Act 1984 [Act A612]. Sejak pindaan kali terakhir terhadap had maksimum bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah pada tahun 1984 tersebut, kini telah hampir 40 tahun berlalu, namun kadar hukuman sedia ada yang diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak lagi pernah dipinda. Kadar hukuman yang diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tersebut didapati sudah tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa.
7.​Cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak boleh ditafsirkan sebagai membenarkan Badan Perundangan Negeri untuk mewujudkan kesalahan dan hukuman berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana, Badan Perundangan Negeri hendaklah tertakluk kepada bidang kuasa perundangan yang diperuntukkan di bawah Fasal (2) Perkara 74 dan butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.
8.​Apa jua cadangan pindaan yang dibuat kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak akan mengubah kuasa perundangan yang telah pun diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Badan Perundangan Negeri.
9.​Cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 ini dibuat melalui sesi libat urus bersama dengan pihak berkepentingan di Negeri-Negeri dan dengan mengambil kira kesemua sudut pandang termasuk aspek undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. Apa jua cadangan pindaan yang dibuat kepada Akta ini kelak pastinya adalah di dalam ruang lingkup dan kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
10.​Selain itu, berdasarkan titah DYMM Sultan Selangor dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-70 (MKI) pada 28 Ogos 2023, Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang akan turut memperhalusi cadangan pindaan kepada Akta ini.
11.​Oleh itu, semua pihak digesa untuk tidak memberikan sebarang kenyataan yang bersifat ‘speculative’ dan ‘pre-emptive’ berhubung dengan cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 ini tatkala ia masih belum dibentangkan di Parlimen. Setelah ia dibentangkan, kesemua ahli parlimen akan diberikan ruang yang secukupnya bagi membahaskan berkenaan pindaan ini.
12.​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga ingin menasihatkan semua pihak menjunjung tinggi titah DYMM Sultan Selangor pada 29 Disember 2023 agar rakyat Malaysia khususnya mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia.
13.​Justeru, semua pihak dinasihatkan untuk tidak memberikan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan mahupun mencetuskan kegusaran kepada orang awam.
14. ​Akhirnya, saya menegaskan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited untuk memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah dan juga undang-undang Syariah di negara ini berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
6 April 2024

Selamat Datang, Welcome