KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN LAWATAN RASMI MENTERI HAJI DAN UMRAH ARAB SAUDI KE MALAYSIA PERKUKUH KERJASAMA DUA HALA

1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat berbesar hati dengan lawatan rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Dr. Tawfig Al-Rabiah, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi ke Malaysia. Ia merupakan simbolik kepada hubungan akrab negara Malaysia dan Arab Saudi. Selain akan memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik terutamanya pengurusan haji dan umrah bagi negara Malaysia.
2.​ Mewakili Kerajaan Malaysia, saya amat mengalu-alukan kehadiran TYT Dr. Tawfig al-Rabiah ke Malaysia yang merupakan kunjungan rasmi kali kedua dalam tempoh dua tahun ini.
3.​ Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengadakan satu mesyuarat bersama TYT Dr. Tawfig Al-Rabiah, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi di Kompleks Islam Putrajaya pada 26 Ogos 2024. Mesyuarat tersebut adalah sebagai sebahagian daripada kerangka lawatan rasmi beliau ke Malaysia semalam. Turut hadir bersama ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni & Budaya, YB Khairul Firdaus Akhbar Khan.
4.​ Pertemuan tersebut antara lain telah membincangkan permohonan penambahan kuota haji bagi jemaah haji Malaysia dan juga usahasama bagi meningkatkan tahap perkhidmatan serta kemudahan di Tanah Suci terutamanya di Masya’ir. Usaha ini pastinya dapat membantu pengurusan pihak Lembaga Tabung Haji yang kini telah mula melaksanakan persediaan awal bagi musim haji 1446H,” jelas beliau lagi.
5.​ Selain itu, TYT Dr. Tawfig Al-Rabiah bersama wakil delegasi Kerajaan Arab Saudi dengan kerjasama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputra Malaysia (BUMITRA) turut menganjurkan bengkel khusus bagi membicarakan langkah-langkah strategik untuk menarik minat lebih ramai jemaah umrah dari Malaysia dan meluaskan industri pelancongan di Arab Saudi.
6.​ TYT Dr. Tawfig Al-Rabiah dijadualkan berada di Malaysia sehingga 28 Ogos ini dan telah mengadakan kunjungan hormat kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. Pada masa sama, beliau juga bertemu beberapa kementerian juga organisasi tertentu antaranya Institute of Strategic & International Studies (ISIS) dan Lembaga Tabung Haji.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM BIN HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
27 Ogos 2024
All reactions:

25

Selamat Datang, Welcome