KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN KEGIATAN ‘SWINGER’ DI PLATFORM MEDIA SOSIAL

1. ​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat dukacita dengan berita mengenai kegiatan ‘swinger’ yang dibongkar oleh pihak PDRM dan SKMM semalam. Kegiatan kumpulan ‘swinger’ ini merujuk kepada aktiviti suami isteri bertukar-tukar pasangan. Mengikut laporan media, kumpulan tersebut beroperasi secara dalam talian dan didapati menjual bahan lucah untuk meraih keuntungan.
2.​ Secara jelas telah termaktub dalam ketetapan agama Islam, zina adalah perbuatan terkutuk dan merupakan satu dosa besar. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Isra’, ayat 32:
وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَٰحِشَةٗ وَسَآءَ سَبِيلٗا ٣٢
Maksudnya : Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)
3.​ Susulan pendedahan ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah mengambil tindakan bersepadu termasuk bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) dan agensi-agensi berkaitan untuk memperkukuhkan pendidikan kepada umat Islam bagi memelihara institusi kekeluargaan.
4.​ Institusi masjid dan surau bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga adalah diseru untuk memperhebat program-program pembinaan keluarga yang menghayati nilai-nilai Islam. Usaha-usaha ini amat penting dilaksanakan bagi memelihara Maqasid Syariah iaitu menjaga keturunan.
5.​ Selain itu, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan tidak bermoral ini adalah diminta untuk membuat laporan kepada pihak PDRM dan SKMM. Kegiatan ini perlu ditumpaskan sepenuhnya kerana ia membawa musibah kepada keluarga dan negara.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. MOHD NA’IM HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
4 April 2024

Selamat Datang, Welcome