KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN KAEDAH PENETAPAN RASMI 1 SYAWAL DI MALAYSIA

1. Susulan pengumuman tarikh hari raya Aidil Fitri bagi negara Arab Saudi yang akan menyambut 1 Syawal pada hari Rabu bersamaan 10 April 2024 seperti yang diumumkan semalam telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan masyarakat. Negara Arab Saudi telah melaksanakan cerapan hilal pada petang hari Isnin, 8 April 2024 bersamaan 29 Ramadan 1445H (sehari lebih awal dari Malaysia) berikutan 1 Ramadan di negara tersebut adalah lebih awal daripada negara Malaysia. Sepertimana yang kita maklum bahawa negara berkenaan berada pada kedudukan lebih ke barat daripada negara Malaysia.
2. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin memaklumkan bahawa cerapan Hilal Syawal di Malaysia bagi tahun ini (1445H) adalah pada petang hari ini Selasa, 29 Ramadan 1445H bersamaan 9 April 2024. Kaedah yang digunapakai di Malaysia bagi penentuan awal Syawal adalah Kaedah Rukyah (cerapan hilal) dan Hisab (hitungan kedudukan anak bulan) berpandukan Kriteria Imkanur Rukyah. Kriteria ini merujuk kepada syarat dimana anak bulan dikira kelihatan sekiranya berada pada kedudukan tidak kurang dari ketinggian 3 darjah dan 6.4 darjah jarak lengkung ketika matahari terbenam.
3. Pengumuman tarikh 1 Syawal 1445H akan dibuat malam ini sejurus selepas menerima laporan hasil cerapan hilal yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi setelah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. Seterusnya pengisytiharan tarikh 1 Syawal bagi negara Malaysia akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui media utama.
4. Semua pihak dinasihatkan supaya bersabar dan menghormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya di negara ini yang dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR) selaku pihak yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
9 April 2024

Selamat Datang, Welcome