Saya meneruskan program lawatan kerja ke Negeri Perlis bersama agensi YaPEIM turun menyantuni tujuh orang asnaf yang dibantu menerusi Program Sinar Lestari YaPEIM di negeri Perlis.
Alhamdulillah, secara keseluruhan Program Sinar Lestari pada hari ini memanfaatkan keseluruhan penerima ini berjumlah RM188,519.00.
Saya mendengar sendiri kisah kegigihan saudara Mohd Syfulzal Sidek dan isteri Yusniza Abdullah dari Kampung Surau, di Utan Aji, Kangar mengenai jatuh bangun mereka dalam mengusahakan produk perencah masakan dengan dorongan serta bantuan dari YaPEIM seperti pembinaan bengkel perusahaan dan pemberian peralatan.
Saya doakan menerusi bantuan pembinaan bengkel dan tambahan pembiayaan perniagaan akan memberi tambah nilai kepada Saudara Mohd Syfulzal dari segi publisiti dan seterusnya perusahaan produk ini berkembang maju, insya-Allah.
Inilah peranan agensi hal ehwal Islam seperti YaPEIM dalam membantu masyarakat yang memerlukan. Inilah tekad saya bersama seluruh agensi.