KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKENAAN RESOLUSI MAJLIS KESELAMATAN PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB)

1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin merujuk kepada Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi gencatan senjata di Gaza yang telah dicapai. Resolusi 2728 Majlis Keselamatan PBB ini adalah amat ditunggu-tunggu oleh seluruh masyarakat antarabangsa terutamanya umat Islam di seluruh dunia yang mencintai keamanan dan kesejahteraan.
2. Sudah sekian lama, rakyat Palestin di Gaza telah berdepan dengan ujian malapetaka kemanusiaan terutamanya di bulan Ramadhan, tiada makanan dan minuman serta perubatan kerana kekejaman dan kezaliman regim Zionis Israel.
3. Penerimaan resolusi ini membuka ruang bekalan makanan dan minuman serta bantuan perubatan untuk masuk ke Gaza, Palestin, begitu juga hospital-hospital yang telah tutup akibat tiada bekalan bahan api juga diharapkan akan beroperasi semula dan dapat memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang cedera.
4. Walaubagaimanapun, ketika resolusi ini dicapai, regim Zionis Isreal masih bersikap melampaui batas kemanusiaan dengan meneruskan serangan dan tidak mempedulikan resolusi yang dicapai.
5. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru seluruh umat Islam untuk terus membaca Qunut Nazilah serta menunaikan solat hajat di surau dan masjid agar Allah SWT sentiasa melindungi rakyat Palestin. Mengambil keberkatan bulan Ramadan, marilah bersama-sama kita melipatgandakan doa kepada saudara-saudara kita di Palestin. Pada masa sama menghulurkan bantuan kemanusiaan agar ianya dapat disalurkan ke Gaza, Palestin.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
27 Mac 2024

Selamat Datang, Welcome