Muzakarah Kebangsaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Malaysia Tahun 1446H/2024M

Sekitar Muzakarah Kebangsaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Malaysia Tahun 1446H/2024M semalam di Kuala Lumpur.
Bagi pihak Kerajaan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ashabul Fadhilah Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan, para Hakim Majlis Tilawah dan Hafazan yang sentiasa berkhidmat sepenuh hati untuk memajukan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran yang sudah berjaya di tahap ini.
Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa telah menjadi model kepada program pembangunan pengajian Al-Quran di seluruh dunia.
Apabila saya bertemu Menteri-Menteri Agama negara-negara luar termasuk Tuan Yang Terutama Duta-Duta, kebanyakan mereka akan bertanya tentang konsep penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan yang dianjurkan oleh Malaysia. Mereka tertarik dengan kaedah penganjuran yang dilaksanakan oleh Malaysia kerana ia memberi kesan positif kepada masyarakat.
Oleh yang demikian, adalah amat mustahak kepada kita semua sentiasa mengambil usaha penambahbaikan daripada pelbagai aspek termasuk pengurusan acara, penghakiman musabaqah, kaedah saringan peserta dan sebagainya.
Saya ingin berterima kasih kepada pihak Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri yang telah melakukan inisiatif tersendiri untuk melahirkan para Qari dan Qariah termasuk Hafiz dan Hafizah berkualiti di peringkat negeri masing-masing. Ada negeri-negeri yang telah menubuhkan Akademi Al-Quran di negeri masing-masing. Ia amat baik untuk kita memberikan latihan serta pendedahan berterusan kepada para peserta untuk jangka panjang.
Penganjuran Muzakarah Kebangsaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Malaysia 1446H/2024M seperti ini amat baik bagi kita melakukan post-mortem serta membina kerangka penambahbaikan untuk tahun-tahun akan datang.
Dengan semangat syura dan musyawarah, komentar serta pandangan membina amat penting untuk dilakukan perubahan yang lebih baik.
Muzakarah kali ini membincangkan hal-hal berkaitan peraturan dan penghakiman penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK), Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) dan juga Modul Kompetensi Hakim Pelapis MTHQK.
Kita mahu kaedah penghakiman Majlis Tilawah dan Hafazan benar-benar berkualiti serta berintegriti. Ini adalah satu perkara yang amat penting dan perlu diberikan perhatian.
Pada masa sama, adalah penting untuk diberikan perhatian kepada aspek pembinaan Hakim-Hakim Pelapis agar kita tidak ketandusan para Hakim mengikut bidang-bidangnya seperti Tajwid, Taranum, Fasahah dan sebagainya.
Semoga Majlis Tilawah dan Hafazan Al Quran terus diimarahkan untuk menyemarakkan semangat membaca dan menghayati Al-Quran.

Selamat Datang, Welcome