Saya bagi pihak Lembaga Tabung Haji (TH) dengan besar hatinya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga di atas kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr.) Hajah Norlidah binti Tan Sri Datuk R.M. Jasni ke Majlis Meraikan Keberangkatan Jemaah Haji Negeri Sabah Musim Haji 1445H/2024M bagi KT77S pada hari ini.
Hari ini seramai 134 orang bakal haji dari Negeri Sabah akan berlepas ke Tanah Suci Makkah Al Mukkaramah. Ini merupakan Kumpulan pertama dari Sabah yang berlepas ke KLIA dan seterusnya ke tanah suci.
Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada bakal haji yang telah terpilih untuk menunaikan Rukun Islam yang ke lima pada musim haji tahun ini.
Mudah-mudahan ibadat Haji yang bakal dikerjakan akan meningkatkan lagi iman dan amal dalam mencari keredhaan Allah, demi kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang maksudnya:
مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمَ وَلَدَتْهُ أُمُّه
Maksud Hadith : “Barang siapa yang mengerjakan haji ke Baitullah dan tidak melakukan perkara-perkara keji dan tidak berbuat fasik, maka dia suci daripada dosa-dosanya seolah-olah dia kembali pada hari dia dilahirkan oleh ibunya”.