Saya memulakan program rasmi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Sekolah Kebangsaan Telkong, Kuala Krai, Kelantan dalam program Motivasi dan Kecemerlangan Murid.
Pendidikan adalah perkara penting yang mesti usahakan sebaik mungkin demi generasi masa hadapan. Apabila anak-anak diberikan pendidikan sempurna, jiwa mereka diisi dengan ilmu dan akhlak.
Saya bersama agensi saya turun ke Sekolah Kebangsaan Telkong ini untuk membantu agensi-agensi Kerajaan sedia ada seperti Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan lain-lain agensi, yang sudah menjalankan peranan dengan cukup baik.
Bagi meraikan dan menaikkan semangat murid-murid, saya menyumbang beg sekolah kepada 431 orang pelajar sekolah ini.
Selain itu, saya dimaklumkan oleh guru besar bahawa surau sekolah memerlukan karpet baharu dan penghawa dingin baharu. Oleh itu, saya bersetuju menyumbang sebanyak RM20,000.00 bagi pembelian kedua-dua barangan tersebut untuk kelengkapan surau sekolah seperti karpet dan juga penyaman udara. Selain itu, turut disumbangkan dua buah komputer riba untuk kegunaan pihak sekolah.
Semoga sumbangan yang dihulurkan ini dapat membantu pihak sekolah dan para pelajar di sekolah ini.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus berusaha membantu masyarakat kerana ini adalah sebahagian pelaksanaan agenda dalam Pelan Transformasi Al-Falah.