Cintai Tanah Air
Rasulullah SAW pernah berdoa maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami mencintai Madinah seperti cinta kami kepada Makkah atau melebihi cinta kami pada Makkah.” (HR Bukhari)
Bulan Ogos merupakan bulan kemerdekaan bagi rakyat Malaysia. Sebagai seorang rakyat Malaysia yang baik, kita dianjurkan untuk menzahirkan semangat kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh para pejuang tanah air dahulu. Ianya dapat dilakukan dengan menunjukkan rasa cinta terhadap negara.
Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Alangkah baiknya dirimu wahai Makkah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, nescaya aku tidak akan tinggal selain daripadamu”. [Riwayat al-Tirmizi].
Ianya menjelaskan dengan lebih mendalam bahawa mencintai tanah air adalah sebahagian daripada fitrah manusia dan perkara yang digalakkan dalam Islam.
Dalam kita menyambut bulan kemerdekaan ketika ini, saya menyeru agar kita sama-sama memperkukuhkan cinta kepada tanah air. Disamping bersyukur dengan nikmat keamanan dan kemerdekaan negara ini, marilah kita membina sebuah negara Malaysia yang lebih aman, harmoni dan maju, selaras dengan prinsip-prinsip Islam sesuai dengan tema merdeka tahun ini “Malaysia Madani Jiwa Merdeka”.