KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKENAAN NASIHAT KEPADA MASYARAKAT AGAR BERWASPADA DENGAN TAWARAN PAKEJ HAJI TAHUN 2024

1.​ Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil maklum akan kejadian yang menimpa 300 bakal jemaah haji yang terkandas di Mekah ketika ini akibat terpedaya dengan pakej haji murah yang ditawarkan agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab.
2. Dalam hal ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa memberi peringatan saban tahun kepada umat Islam negara supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej murah yang ditawarkan segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh TH.
3. ​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersimpati atas nasib yang menimpa mangsa-mangsa tersebut dan telah mengarahkan pihak TH untuk meneliti perkara ini untuk siasatan lebih lanjut. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menasihatkan kepada semua mangsa yang terlibat di sana untuk menghubungi Kedutaan Malaysia di Arab Saudi bagi mendapatkan bantuan khidmat nasihat.
4. ​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut mengingatkan juga kepada mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH adalah menjadi satu kesalahan dan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
5. ​Sebagai makluman, TH telah melantik 25 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi Musim Haji 1445H/2024M dan ini adalah antara langkah awal persediaan haji yang dilakukan TH saban tahun. Umat Islam adalah dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat yang dilantik sebagai PJH oleh pihak TH sahaja.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
11 Mei 2024

Selamat Datang, Welcome