KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKENAAN LAWATAN RASMI PRESIDEN KESATUAN ULAMA SEDUNIA, PROF. DR. ALI MUHYIDDIN ALI AL-QARADAGHI 5 – 12 JULAI 2024

1.​​ Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin memaklumkan bahawa atas undangan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Prof. Dr. Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula 5 Julai hingga 12 Julai 2024.
2.​​ Sheikh Ali Al-Qaradaghi merupakan Presiden Kesatuan Ulama Sedunia dan merupakan tokoh terkemuka dalam bidang Ekonomi Islam, Perbankan Islam, Maqasid Shariah dan Pemikiran Islam. Keilmuan beliau diiktiraf sebagai rujukan utama pelbagai institusi kewangan dan perbankan Islam dalam lapangan antarabangsa termasuk juga institusi kewangan di Malaysia.
3.​ Sebagai pemimpin utama Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Ali Al-Qaradaghi berperanan besar dalam mengarusperdana pemikiran kesederhaan dalam Islam terutama dalam aspek Maqasid Syariah dan Islam dan Kenegaraan. Kehadiran Sheikh Ali Qaradaghi ke Malaysia akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah yang mengadaptasi pendekatan Maqasid Syariah dalam pentadbiran dan pemerintahan.
4.​ Sepanjang lawatan rasmi Sheikh Ali Al-Qaradaghi, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menyusun program-program melibatkan beliau antaranya seperti berikut:
i. Global Madani Forum Anjuran IKIM di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur
ii. Konvensyen Akidah Ahli Sunah Wal Jamaah Peringkat Wilayah Persekutuan anjuran JAWI di Dewan Syarahan Masjid Negara
iii. Sesi Pertemuan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)
iv. Sesi khas bersama Asatizah dan Ilmuan Islam anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
5.​ Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat yakin bahawa lawatan rasmi ini akan membawa manfaat kepada keharmonian serta perpaduan masyarakat dan negara. Semoga segala perancangan yang disusun ini akan berjalan dengan jayanya.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM BIN HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
5 Julai 2024

Selamat Datang, Welcome