KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKENAAN KEJADIAN SERANGAN DI BALAI POLIS ULU TIRAM, JOHOR DARUL TAKZIM

1.​ Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berasa amat dukacita dengan kejadian serangan yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Darul Takzim.
2.​ Mewakili seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Almarhum Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Almarhum Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang terlibat dengan kejadian yang amat menyedihkan ini. Semoga seluruh ahli keluarga bersabar serta dikurnia ketabahan yang tinggi berhadapan dengan ujian berat ini.
3.​ Semua pihak adalah dipohon supaya bertenang dan memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan terperinci. Mana-mana pihak yang terlibat dalam kejadian jenayah ini perlulah dibawa ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada semua pihak.
4.​ Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa konsisten menolak sebarang fahaman ekstrem dan melampau. Pada masa sama mengajak semua rakyat untuk memperkukuh keamanan negara dengan prinsip kesederhanaan (wasatiyyah) serta berpegang teguh kepada nilai-nilai rahmah dan ihsan.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
18 Mei 2024

Selamat Datang, Welcome