KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKENAAN INISIATIF JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) KE ARAH MEMPERKASA PEMBANGUNAN AL-QURAN DI MALAYSIA

1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh pihak Presiden Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) supaya ditubuhkan Maktab
Perguruan Tahfiz. Cadangan tersebut adalah salah satu kaedah untuk memperkukuh sistem pendidikan tahfiz di negara ini.
2. Buat masa ini, untuk memperkukuh sistem pendidikan tahfiz, JAKIM telah melaksanakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara dengan kerjasama pihak berkuasa agama Islam Negeri termasuk persatuan
tahfiz. Pada masa sama untuk memperkasa kemahiran pengurusan, pembelajaran dan pengajaran di kalangan guru tahfiz dan pengurusan tahfiz, JAKIM dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institut Aminuddin Baki telah melaksanakan program-program latihan kepada pihak yang berkaitan.
3. Selain itu, JAKIM telah mewujudkan sistem pengiktirafan kepada institusi tahfiz dengan mewujudkan Jawatankuasa Akreditasi Tahfiz di
bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK).
4. Demi memperkukuh agenda memperkasa pendidikan tahfiz serta menjamin masa depan para huffaz, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah melaksanakan sesi libat urus bagi menilai cadangan penubuhan Universiti Al-Quran Malaysia dengan pihak-pihak yang berkepentingan.
5. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yakin bahawa semua inisiatif yang sedang dan bakal dilaksanakan akan dapat memperkukuh usaha-usaha pembangunan Al-Quran secara menyeluruh seterusnya mengisi makna pembinaan Malaysia Madani.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
6 Mei 2024

Selamat Datang, Welcome