KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN SUSULAN PERTEMUAN JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM) BERSAMA PIHAK VERN’S HOLDING SDN. BHD.

1.​ Susulan pertemuan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama YBhg. Dato’ Sri Ng Chuan Hoo, Pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Holding Sdn. Bhd. pada pagi tadi berkaitan isu dakwaan terdapat kalimah Allah pada kasut keluaran pihak Vern’s Holding Sdn. Bhd, adalah dimaklumkan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyerahkan proses selanjutnya kepada siasatan pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).
2.​ JAKIM telah diarah untuk memberikan kerjasama penuh kepada PDRM dalam melengkapkan siasatan. Sekiranya terdapat elemen yang bertentangan dengan undang-undang, maka proses selanjutnya akan diambil oleh pihak PDRM.
3.​ Semua pihak perlu mengambil pengajaran daripada situasi ini agar ianya tidak berulang lagi pada masa akan datang.
4.​ Dalam masa terdekat, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengadakan pertemuan bersama pihak Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) serta pihak berkuasa seperti PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan lain-lain pihak berkaitan bagi menyelaras tindakan bersepadu untuk menangani isu ini.
5.​ Adalah menjadi komitmen utama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menjaga kesucian agama Islam dan maslahah umat Islam. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang jelas terbukti membuat tindakan yang menghina agama Islam.
6.​ Pada masa sama, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menasihatkan semua pihak untuk sentiasa bertenang serta tidak mengambil apa-apa langkah melulu yang bertentangan dengan undang-undang negara. Semua tindakan adalah berasaskan fakta dan bukti kukuh.
7.​ Adalah menjadi kewajipan semua pihak untuk menjaga akhlak dan tingkah laku agar keharmonian dan perpaduan dalam negara sentiasa terpelihara.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
8 April 2024

Selamat Datang, Welcome