KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN SOKONGAN PENUH KEPADA KENYATAAN RASMI AL-AZHAR AL-SHARIF

1. ​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh kenyataan rasmi Al-Azhar Al-Sharif pada 28 Julai 2024 yang mengecam sekeras-kerasnya adegan-adegan yang dipaparkan pada majlis pembukaan Sukan Olimpik 2024 Paris kerana telah menonjolkan unsur-unsur keterlaluan yang memperlecehkan kenabian yang suci dan agong atas nama kebebasan berkarya dan mencipta.
2.​ Upacara pembukaan Sukan Olimpik yang diadakan pada Jumaat, 26 Julai 2024 yang lalu dengan penuh warna warni di sepanjang Sungai Seine membawa satu kelainan berbanding upacara pembukaan sebelum ini. Namun keghairahan penganjur “berkarya” dan “mencipta” tanpa menghiraukan sensitiviti kepelbagaian agama, budaya dan kepercayaan dunia telah menjejaskan suasana kemeriahan pembukaan Sukan Olimpik 2024.
3.​ Walaupun penganjur menafikan mereka mempunyai agenda tertentu dan tidak mempunyai mesej spesifik yang ingin disampaikan, namun watak-watak dan adegan yang dipersembahkan jelas tidak menghormati kepercayaan orang yang beragama yang percaya pada nilai, moral dan kemanusiaan yang luhur. Ini termasuk mempromosi unsur lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT) yang bercanggah dengan agama dan budaya sebahagian besar masyarakat dunia dan satu tindakan yang berbahaya.
4.​ Perkara ini mengundang kemarahan masyarakat global yang mengimpikan keharmonian sejagat dicapai melalui penganjuran sukan yang berprestij serta menjalin hubungan erat sesama manusia.
5.​ Oleh itu, sewajarnya unsur-unsur yang mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa apatah lagi mempromosikan cara hidup songsang tidak harus ditonjol dan dipromosikan.
6.​ Dalam konteks penganjuran sukan bertaraf antarabangsa, sewajarnya badan yang bertanggungjawab memastikan elemen-elemen yang boleh mencetuskan kontroversi seperti ini tidak dipersembahkan walau apa jua alasan diberikan.
7.​ Semua pihak adalah bertanggungjawab untuk meraikan kepelbagaian budaya dan mempromosikan sikap hormat menghormati, persaudaraan manusia dan kehidupan bersama.
8.​ Sebarang tindakan yang boleh menjejaskan penghormatan dan keharmonian global ini perlu dielakkan sama sekali.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM BIN HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
31 Julai 2024

Selamat Datang, Welcome