KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN SESI PERJUMPAAN JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERSAMA MAJLIS PERUNDINGAN MALAYSIA BAGI BUDDHA, KRISTIAN, HINDU, SIKH DAN TAOISME (MCCBCHST) DAN KEMENTERIAN PERPADUAN NEGARA

1. ​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengadakan sesi perjumpaan bersama Majlis Perundingan Malaysia Bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh Dan Taoisme (MCCBCHST) pada 18 September 2024, pada pukul 4.00 – 5.30 petang, bertempat di Kompleks Islam Putrajaya.
2. ​Perjumpaan tersebut telah dipengerusikan oleh YB Dato’ Setia Hj Mohd Na’im bin Hj Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan turut disertai oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara. Seramai 10 orang perwakilan dari pihak MCCBCHST telah menghadiri perjumpaan itu, termasuk pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Perpaduan Negara.
3.​ Sepertimana sedia maklum, sesi perjumpaan ini diadakan bertujuan melaksanakan arahan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim yang telah meminta pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Menteri Perpaduan Negara mengadakan perjumpaan dengan pihak MCCBCHST bagi memberikan pencerahan mengenai isu yang dibangkitkan berkaitan penempatan pegawai JAKIM di Kementerian-Kementerian.
4. ​Pada perjumpaan tersebut, perwakilan MCCBCHST telah diberi taklimat latar belakang sejarah, fungsi dan peranan Perkhidmatan Pegawai Kader Hal Ehwal Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di agensi-agensi Kerajaan bermula sejak 1980-an. Penempatan para pegawai JAKIM adalah berdasarkan perjawatan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui permohonan daripada Kementerian/Jabatan/Agensi Kerajaan untuk melaksanakan fungsi Hal Ehwal Islam. Fungsi Kader Hal Ehwal Islam JAKIM boleh dirumuskan meliputi aspek Tadbir Urus, Pembangunan Insan, Pemulihan, Keselamatan dan Pencegahan berasaskan keperluan di setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.
5. ​Para perwakilan yang menghadiri perjumpaan juga telah menerima dengan baik penjelasan tentang peranan Kader Hal Ehwal Islam JAKIM yang amat berkesan dan penting terutamanya dalam memantapkan kefahaman dan meningkatkan motivasi kerja berasaskan penghayatan terhadap nilai-nilai murni dalam perkhidmatan demi mencapai produktiviti organisasi ke arah merealisasikan tadbir urus terbaik (good governance).
6. ​Pada perjumpaan tersebut juga, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah memberi saranan agar Biro Pengurusan Isu Agama dan Mediasi yang ditubuhkan dalam Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) dapat diaktifkan bagi mengelakkan sebarang polemik tentang sesuatu isu. Semua isu yang berbangkit sewajarkan dibincangkan secara harmoni dalam Jawatankuasa HARMONI. ​
7. ​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menyeru dan mengajak rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum agar saling menghargai realiti kepelbagaian dalam negara dan bersama-sama berusaha memelihara keharmonian demi merealisasikan cita-cita membangun Malaysia MADANI yang maju, progresif dan sejahtera.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM BIN HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
18 September 2024

Selamat Datang, Welcome