1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menganjurkan Program Gema Syukur 2025 pada 31 Disember 2024 hingga 1 Januari 2025 bermula pada 6.00 petang hingga 9.00 pagi di Masjid Putra Putrajaya.
2. Program ini merupakan inisiatif strategik agensi-agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama rakan strategik iaitu MAPIM : Malaysian Consultative Council for Islamic Organization, MyFundAction & Du’at Al-Falah. Selain itu, ia turut disokong oleh Masjid Wilayah Persekutuan dan Pusat Pungutan Zakat. Penganjuran program sebegini adalah penzahiran iltizam agensi-agensi di bawah YB Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk terus memacu ummah dalam menyemarakkan syiar Islam di bumi Malaysia.
3. Program Gema Syukur 2025 pasti membawa kelainan yang istimewa, menyerlahkan semangat baharu dan rasa syukur dalam menyambut tahun baharu yang bakal tiba dengan penuh makna. Empat (4) objektif digariskan untuk dicapai melalui program ini iaitu:
i. Menzahirkan tanda kesyukuran atas segala nikmat yang diperolehi sepanjang tahun;
ii. Memupuk kebersamaan dan mengeratkan semangat persaudaraan dalam kalangan komuniti setempat;
iii. Membangkitkan semangat motivasi dan tekad mencapai kejayaan dengan azam tahun baharu; dan
iv. Bermunajat dan berdoa semoga negara Malaysia dijauhi dari segala musibah, bala bencana dan wabak penyakit.
4. Penganjuran program ini menjadi alternatif bagi masyarakat untuk mengimarahkan masjid melalui pelbagai pengisian program yang bermanfaat. Lebih 1,000 mahasiswa dari pelbagai Universiti Awam dan Swasta di Malaysia dijangka hadir. Selain itu, forum istimewa bertemakan ‘Fostering Unity and Da’wah Across Border’ turut dianjurkan khas kepada mahasiswa dari luar negara di Auditorium, Masjid Putra bermula jam 10.30 malam (31 Disember 2024) iaitu selepas sesi ‘International Quran Moment’ bersama keseluruhan pengunjung yang hadir.
5. Pengisian program Gema Syukur 2025 adalah seperti berikut:-
Sesi Malam Tahun Baharu (31/12/2024):
i. Majlis Bacaan Yasin & Doa;
ii. Gema Cinta Rasul bersama kumpulan nasyid Inteam;
iii. Tadabbur Quran:International Quran Moment;
v. Podcast “Jerat Nafsu” bersama ahli panel jemputan khas iaitu:
-YBrs. Dr. Syed Shahridzan bin Syed Mohamed, Ketua Penolong Mufti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
-YBrs. Dr. Ghafur Rahim bin Mustakim, Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction
-SAC Siti Kamsiah binti Hassan, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman; serta
v. Kira Detik 2025; dan disudahi doa keberkatan untuk melangkah ke tahun baharu.
Sesi Awal Tahun Baharu (01/01/2025):
i. Qiamullail yang akan dipimpin oleh Syeikh Abdul Karim Omar al-Fatani al-Makki;
ii. Forum “Demi Masa” bersama YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Universiti Kebangsaan Malaysia – UKM dengan penampilan istimewa, PU Riz dan dikendalikan oleh Ustaz Mohd Rahimi bin P Ramlee (Moderator).
6. Demi membangkitkan semangat dan tekad untuk mencapai kejayaan, program ini tidak melupakan mereka yang memerlukan. Sebanyak 100 asnaf akan disantuni dengan penuh kasih, dan akan menerima sumbangan wang tunai RM200 (daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan), bakul makanan (daripada PPZ MAIWP & MAPIM), serta kit kebersihan (daripada MyFundAction), sebagai tanda harapan serta sokongan untuk mereka terus melangkah ke tahun yang baharu.
7. Selain itu, lebih daripada 15 pilihan menu sarapan percuma akan disediakan untuk dinikmati bersama oleh semua lapisan masyarakat yang hadir ke program ini.
8. Pengunjung yang bertuah turut berpeluang menerima hadiah istimewa, termasuk Syiling Emas yang ditaja khas oleh YAPEIM (Official). Datanglah lebih awal untuk berqiamullail dan mendaftarkan diri bagi menjadi salah seorang insan yang bertuah.
9. Rakyat Malaysia khususnya yang berada di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan sekitarnya adalah dijemput beramai-ramai untuk hadir ke Masjid Putra, Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 31 Disember 2024 hingga 1 Januari 2025, bermula 6.00 petang – 9.00 pagi.
10. Rakan-rakan media dijemput hadir untuk membuat liputan program ini pada waktu dan lokasi yang telah dinyatakan dan jasa baik turut dipohon untuk mewar-warkan berkenaan penganjuran Program Gema Syukur 2025.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM BIN HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
30 Disember 2024