1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menganjurkan Majlis Sama’ Hadis Sahih Al-Bukhari Antarabangsa 2024. Program ini adalah antara usaha Kerajaan Madani untuk menjunjung tinggi syiar agama Islam dan memperkukuh penghayatan ilmu dalam masyarakat.
2. Program ini akan berlangsung dari 10 hingga 21 November 2024 bertempat di Masjid Putra, Putrajaya. Ia dianjurkan oleh agensi-agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan At-Taibah, Pertubuhan ISLAMI dan rakan-rakan NGO.
3. Program ini sangat istimewa kerana ia bakal menghimpunkan para ulama’ serta ilmuan tersohor dari dalam dan luar negara untuk sama-sama menyampaikan syarahan serta memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap hadis-hadis sahih Al-Bukhari.
4. Program ini bukan sahaja sebuah perhimpunan ilmu, tetapi juga platform menyuburkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat, selari dengan prinsip Kerajaan Madani yang menekankan perpaduan, kesejahteraan, dan kemajuan berteraskan nilai-nilai Islam.
5. Saya menyeru semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menyertai majlis ini, kerana inilah adalah peluang untuk menyelami khazanah ilmu yang agung, meraih hikmah yang tidak ternilai, dan seterusnya menyumbang kepada pengukuhan syiar Islam di negara ini.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM BIN HJ.
MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
27 Oktober 2024