KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN KONVENSYEN MEMARTABATKAN PERUNDANGAN DAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA

 

1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menganjurkan Konvensyen Perundangan dan Kehakiman Syariah pada 15 Julai 2024, Isnin bertempat di Dewan Damar Sari, Blok F, Kompleks F, Presint 1 Putrajaya dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Konvensyen ini akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.
2. Konvensyen ini bertujuan menjelaskan pelan dan perancangan proses pemurnian dan pengharmonian undang-undang Syariah-Sivil di semua peringkat yang kini sedang diusahakan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi agensi-agensinya yang berkaitan. Ia juga bermatlamat memperkukuh kefahaman dan memperkasa tindakan dalam usaha-usaha memartabatkan perundangan dan kehakiman Syariah secara kolektif dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan. Konvensyen ini akan membuka ruang dan wadah dialog terbuka, profesional dan membina ke arah memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman Syariah di Malaysia secara komprehensif dan menyeluruh.
3. Seramai 1000 orang peserta dalam kalangan pengamal undang-undang terdiri dari hakim, peguam, pendakwa, penguatkuasa, ahli akademik serta wakil agensi Islam di peringkat Persekutuan dan Negeri, pimpinan politik dan komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan dijangka akan menghadiri konvensyen yang penting ini.
4. Penganjuran konvensyen ini melibatkan kerjasama dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP), Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENSWP) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
5. Orang ramai yang berminat menyertai konvensyen ini boleh menghubungi Tuan Mamat Haizan bin Salleh (03-8870 9299) atau En Shahrizan Ab. Rahim (03-8870 9287) atau menerusi email: shahrizan.rahim@esyariah.gov.my
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
10 Julai 2024

Selamat Datang, Welcome