KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN KONVENSYEN MEMARTABATKAN PERUNDANGAN DAN KEHAKIMAN SYARIAH

1. ​Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menganjurkan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah bertujuan menjelaskan pelan dan perancangan proses pemurnian dan pengharmonian undang-undang Syariah dan Sivil di semua peringkat yang kini sedang diusahakan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi agensi-agensinya yang berkaitan.
2.​ Konvensyen ini juga bermatlamat memperkukuh kefahaman selain memperkasa tindakan dalam usaha-usaha memartabatkan perundangan dan kehakiman syariah secara kolektif dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
3.​ Dalam konvensyen ini, sebanyak 3 buah pembentangan telah disampaikan oleh tokoh seperti berikut:
i. YBrs. Tuan Ramzi bin Osman, Timbalan Ketua Bahagian, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara;
ii. YBrs. Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah binti Ismail, Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya; dan
iii. YBrs. Tuan Ahmad Hanir bin Hanbaly Ketua Unit Perlembagaan dan Undang-Undang Pentadbiran, Jabatan Peguam Negara.
4.​ Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan melaksanakan arahan YAB Perdana Menteri dalam Ucaptama beliau pagi tadi agar diperbanyakkan program-program kesedaran berkenaan undang-undang syariah terhadap orang Islam termasuk kepada golongan bukan Islam. Ini amat penting untuk dibina kefahaman serta menyerlahkan keadilan serta keindahan sistem kehakiman Islam.
5.​ Seperkara lagi berkaitan Akta Saraan Hakim Syarie yang dipertegaskan YAB Perdana Menteri, memang telah tiba waktunya penggubalan Akta Saraan Hakim Syarie ini dibuat. Adalah menjadi keperluan agar jawatan Hakim Syarie diasingkan daripada Perkhidmatan Awam bagi menaikkan taraf jawatan hakim bagi memberikan refleksi sebenar kepada perkara 121 (1A) yang telah meletakkan mahkamah syariah adalah mahkamah yang setaraf dengan mahkamah sivil selain memastikan kebebasan badan kehakiman.
6.​ Justeru, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya pelantikan kehakiman Syariah termasuklah akta saraan kehakiman.
7.​ Untuk melihat perkara ini dengan lebih dekat dan terperinci, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengadakan pertemuan bersama Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam serta lain-lain agensi yang berkaitan.
8.​ Terima kasih serta syabas dan tahniah diucapkan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP), Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENSWP) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kerana bertungkus lumus memastikan konvensyen ini berjalan dengan lancar. Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta dan pihak yang menjayakan konvensyen hari ini.
9.​ Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berharap agar konvensyen ini dapat membuka ruang semua pihak untuk memberikan pandangan dan cadangan ke arah memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman Syariah di Malaysia secara komprehensif dan menyeluruh.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
15 Julai 2024

Selamat Datang, Welcome