KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN KEHADIRAN IBRAHIM MAT ZAIN DI LOKASI PENCARIAN MANGSA TANAH JERLUS DI JALAN MASJID INDIA, KUALA LUMPUR

1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil maklum kegelisahan umat Islam terhadap kehadiran Ibrahim Mat Zain di lokasi pencarian mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Individu tersebut telah memberikan tawaran untuk membantu mencari mangsa tanah jerlus.
2. Sebagai makluman semua pihak, pada 2017, individu tersebut telah didakwa di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di bawah Seksyen 7(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) kerana kesalahan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina. Individu tersebut membuat pengakuan bersalah. Pada masa yang sama, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan telah memerintahkan individu tersebut menjalani konsultasi akidah di bawah pengawasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengikut Seksyen 129 Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 506).
3. Sehubungan dengan itu, saya telah meminta Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk memanggil individu tersebut dengan segera bagi memberikan nasihat tentang batas-batas akidah dan iman serta tidak terjebak dalam amalan yang membawa kepada penghinaan kepada agama Islam.
4. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan apa-apa aktiviti ritual yang bertentangan akidah Islam.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
29 Ogos 2024
All reactions:

Asyraf Ibrahim and 174 others

Selamat Datang, Welcome