1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil perhatian berhubung dakwaan di salah sebuah akaun media sosial tentang jumlah sebenar peruntukan yang sepatutnya disalurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada Institusi Pendidikan Islam (IPI) iaitu Sekolah Pondok, Sekolah Tahfiz, Sekolah Agama dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh Malaysia bagi tahun 2024.
2. Dimaklumkan bahawa jumlah Peruntukan Khas Bantuan Selenggara dan Naik Taraf (SNT) IPI yang diterima oleh JAKIM dari Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) bagi perkara tersebut adalah berjumlah RM120 juta berdasarkan syiling peruntukan berjumlah RM150 juta pada tahun 2024. Jumlah tersebut adalah peruntukan secara one off sebagai bantuan untuk disalurkan kepada IPI yang berdaftar dengan pemegang taruh di negeri-negeri di seluruh Malaysia.
3. Peruntukan khas berkenaan tidak diberikan secara automatik kepada IPI sebaliknya perlu dimohon oleh semua IPI yang berdaftar melalui pemegang taruh negeri sebelum dikemukakan kepada JAKIM bagi pertimbangan dan kelulusan. JAKIM juga telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkuasa agama negeri bagi menjelaskan prosedur berkaitan penyaluran peruntukan khas berkenaan.
4. Kategori IPI yang layak memohon bantuan tersebut adalah Institusi Pondok Swasta, Institusi Tahfiz Swasta, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Swasta, Sekolah Agama Negeri, Sekolah Menengah Agama Negeri dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di premis bukan kerajaan yang telah berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri.
5. Berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan Bantuan Selenggara dan Naik Taraf Institusi Pendidikan Islam JAKIM yang berkuatkuasa, skop projek selenggara dan naik taraf yang layak dipertimbangkan bagi pembiayaan bantuan peruntukan khas tersebut meliputi 6 kluster iaitu aspek keselamatan; selenggara dan naik taraf infrastuktur; pencegahan kebakaran; pendawaian elektrik; selenggara dan naik taraf bangunan; dan sistem perpaipan.
6. Proses pencerakinan maklumat permohonan, latar belakang IPI dan aspek keperluan sebenar menjadi antara elemen utama yang dipertimbangkan bagi memastikan kepatuhan terhadap aspek ketelusan tatakelola dalam penyaluran peruntukan. Sehingga bulan November 2024, sejumlah RM119,000,000.00 peruntukan telah pun disalurkan kepada 1,553 institusi.
7. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui JAKIM komited untuk memastikan agenda memartabatkan syiar Islam dalam negara sentiasa menjadi keutamaan melalui perhatian yang diberikan kepada Institusi Pendidikan Islam di bawah kepemimpinan kerajaan Madani.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM BIN HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
10 November 2024