KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN DAKWAAN BAHAWA RANG UNDANG-UNDANG MUFTI (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 2024 (RUU MUFTI) DIGUBAL SECARA TERGESA-GESA

1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menafikan kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa RUU Mufti ini digubal secara tergesa-gesa dan dipengaruhi oleh pihak tertentu.
2. Penggubalan RUU Mufti ini adalah usaha yang diambil
oleh Kerajaan bertujuan untuk memartabat dan memperkasakan institusi Mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Menerusi pemerkasaan ini, bidang kefatwaan dan pembangunan Hukum syarak akan dapat ditadbir secara teratur, telus serta berwibawa ke arah meningkatkan keberkesanan tadbir urus pentadbiran Islam di Malaysia.
3. Suatu Jawatankuasa Penggubalan RUU Mufti (Wilayah-
Wilayah Persekutuan) telah ditubuhkan pada tahun 2021.
Penubuhannya bertujuan untuk mengkaji dan menggubal suatu Akta yang khusus untuk Mufti. Jawatankuasa Penggubalan ini dianggotai oleh wakil daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, JAKIM, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor.
4. RUU Mufti telah melalui suatu proses penggubalan yang
teliti dan panjang bagi memastikan suatu RUU yang
komprehensif digubal serta teratur dan selaras dengan
Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
5. Sehubungan dengan itu, semua pihak dinasihatkan untuk
berhati-hati dengan sebarang kenyataan yang tidak
bersandarkan fakta kerana ia boleh mencetuskan polemik
terhadap usaha murni ini.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM BIN HJ.
MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
15 Oktober 2024

Selamat Datang, Welcome