Patik bagi pihak Kerajaan merafak sembah, menjunjung setinggi-tinggi kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong atas limpah perkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijri bersamaan tahun 2024 Masihi.
Bersempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun ini, Kerajaan telah mengangkat tema “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” sebagai asas untuk dihayati semua lapisan masyarakat. Ia bertujuan menyuburkan kecintaan kepada Baginda Rasulullah, bersesuaian dengan wadah YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri untuk terus memakmur syiar Islam di negara tercinta ini.
Negara memerlukan kompas tersendiri dalam menghargai keunikan kepelbagaian budaya, kaum dan agama.
Semangat perpaduan dalam kemajmukan berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara akan membentuk acuan jati diri yang berjiwa patriotik, bertoleransi dan bertanggungjawab untuk memperkukuh kesejahteraan masyarakat yang menjadi nilai teras Malaysia Madani.
Adalah tidak bertanggungjawab kepada mana-mana pihak
yang terus menerus memanipulasikan isu keagamaan serta
perkauman sebagai senjata untuk melemahkan pihak yang tidak sealiran dengan mereka. Akhirnya rakyat yang akan menjadi mangsa keadaan kerana dihidangkan dengan berita fitnah, adu domba serta maki hamun yang memecahbelahkan silaturrahim.
Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan yang kita sambut pada hari ini, membawa satu makna besar kepada umat Islam untuk menghayati serta mengamalkan segala intipati ajaran yang telah ditinggalkan Baginda Rasulullah berasaskan ilmu dan hikmah.
Salam Maulidur Rasul SAW.