Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Itulah perumpamaan yang tepat apabila saya menziarahi keluarga Encik Eza Farriz bersama Skuad Jejak Asnaf, MAIWP & PPZ.
Encik Eza hanya bekerja sebagai seorang tukang gunting rambut dengan anggaran pendapatan bulanan sebanyak RM1250. Dengan gaji itulah Encik Eza menampung keperluan isteri & 4 orang anak. Isterinya Puan Siti Zaleha tidak bekerja kerana fokus menjaga anak mereka tambahan pula anak sulung mereka Adam Haikal (19 tahun) merupakan OKU fizikal yang menghidap Cerebral Palsy.
Encik Eza sendiri merupakan seorang OKU fizikal akibat dari kemalangan jalan raya. Melihat sendiri keluarga ini maka layaklah mereka dibantu sebaiknya. MAIWP telahpun menyalurkan bantuan sebelum ini dan kali ini dicadangkan bantuan peralatan kesihatan buat adik Adam Haikal terutamanya kerusi roda khas.
Moga bantuan yang disalurkan dapat memudahkan pergerakan adik Adam Haikal. Sama-sama kita doakan agar keluarga Encik Eza Farriz dimudahkan urusan dan sentiasa dalam rahmat Allah.