Sekitar Seminar Kefahaman Malaysia Madani Siri 3 Tahun 2024 Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Kuala Lumpur.
Ucapan tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pihak MAIWP kerana mengambil usaha memberikan penjelasan dan penerangan kepada seluruh warga MAIWP berkenaan hala tuju yang sedang dipacu oleh pucuk pimpinan negara.
Agenda Malaysia Madani bermatlamatkan membentuk sebuah negara yang aman, damai serta makmur. Masyarakat pula saling hormat menghormati, berkasih sayang dan bersatu padu.
Pada masa sama, Malaysia Madani membentuk sebuah pentadbiran Kerajaan yang menjaga tatakelola, berintegriti serta membanteras jenayah rasuah dan salahguna kuasa.
Dalam konteks MAIWP, apabila menyebut tentang Membangun Malaysia Madani, sudah tentulah pengurusan MAIWP perlu berada pada tahap paling tinggi khusus dalam aspek pengurusan integriti.
Pada masa sama, MAIWP mestilah berusaha bersungguh-sungguh membantu serta membangunkan para asnaf dengan sokongan bantuan kewangan dan nilai-nilai ilmu serta bimbingan keusahawanan agar dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.
MAIWP perlu terus memberikan tumpuan kepada program-program pemerkasaan dan pengupayaan ekonomi ummah meliputi kluster kebajikan, perlindungan, ekonomi, perubatan, pendidikan dan pembangunan ummah.