Pagi ini saya menghadiri Program Jelajah Madani Ulama’ Dan Umara’ Peringkat Negeri Zon Utara Tahun 2024
Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak turut dihadiri dan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamed. Turut hadir Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Negeri Perak, YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar bin Zaini.
Bagi pihak Kerajaan Persekutuan, setinggi penghargaan buat para Murabbi Ummah yang terdiri dalam kalangan
para imam, guru takmir, guru KAFA para pegawai masjid dan ahli jawatankuasa masjid yang menyumbangkan bakti dan khidmat dalam pentadbiran Islam.
Para murabbi ummah berperanan besar untuk memperkukuh keamanan dan perpaduan dalam masyarakat.
Keamanan dan keharmonian bermasyarakat menjadi pasak penting kepada kestabilan sesebuah negara. Pada masa sama, Maqasid Syariah yang meletakkan lima teras utama iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta hakikatnya ia tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa wujudnya persekitaran hidup masyarakat yang sejahtera.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui JAKIM telah melaksanakan beberapa inisiatif iaitu penyaluran imbuhan bulanan imam, elaun guru takmir, elaun bulanan guru KAFA, bayaran khas sebanyak RM700.00 secara one-off kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA serta caruman Perkeso di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan (SKSPS) bagi orang bekerja sendiri kepada para penerima di negeri-negeri bagi Zon Utara bagi tahun 2024 seperti berikut :
i- Negeri Perak sebanyak RM78,668,219.20 (setahun);
ii- Negeri Kedah sebanyak RM71,707,887.20 (setahun);
iii- Negeri Pulau Pinang sebanyak RM34,032,742.80 (setahun); dan
iv- Negeri Perlis sebanyak RM15,937,730.40 (setahun).
Semoga segala usaha dan khidmat bakti Ashabul Fadhilah para Murabbi Ummah semua untuk agama, negara dan ummah akan dicatat sebagai amal-amal soleh dan diberikan ganjaran oleh Allah Subhanahu Wataala.
Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada JAKIM bersama-sama rakan-rakan strategik Majlis Agama Islam Negeri Perak dan Jabatan Agama Islam Perak selaku tuan rumah yang telah menjadikan program berlangsung dengan jayanya.
Semoga Allah memberkati segala usaha dan bakti kita semua dalam memakmurkan Islam di negara Malaysia yang tercinta ini.