Sempena lawatan kerja rasmi ke Mesir kerana mewakili Kerajaan Malaysia dalam Persidangan Fatwa Antarabangsa, saya mengambil kesempatan mengadakan pertemuan bersama para penuntut Malaysia di Kaherah, Mesir.
Saya memberi peringatan kepada para penuntut agar sentiasa bersyukur di atas peluang untuk menyambung pengajian di bumi Mesir. Ia adalah satu rezeki dan nikmat yang mesti disyukuri.
Dalam arena bidang keilmuan dan pengajian Islam, Mesir khususnya Al-Azhar As-Syarief menjadi kiblat ilmu bagi umat Islam sedunia sejak lebih 1,000 tahun dahulu. Al-Azhar As-Syarief adalah pusat tamadun ilmu yang melahirkan para ilmuan dan cendekiawan di seluruh dunia.
Harapan saya kepada anak-anak pelajar untuk memanfaatkan waktu sepanjang pengajian di Mesir untuk benar-benar menguasai bidang pengajian ilmu yang diamanahkan.
Dalam pertemuan ini juga saya telah memberikan penjelasan kepada isu-isu pentadbiran hal ehwal islam di Malaysia khususnya agenda memperkasa perundangan dan kehakiman syariah. Saya juga menyentuh hal ehwal semasa yang berlaku di Malaysia sebagai langkah memberikan kefahaman sebenar kepada para pelajar.
Saya juga mengambil kesempatan menzahirkan kesyukuran dan terima kasih atas kunjungan rasmi Sheikh Al-Azhar ke Malaysia baru-baru ini.
Umat Islam di Malaysia amat terkesan dengan seluruh syarahan yang disampaikan oleh Al-Fadilatul Imamul Akbar Sheikh Al-Azhar khususnya seruan agar memperteguh perpaduan dan keharmonian dalam negara. Pandangan Al-Fadilatul Imamul Akbar tersebut amat bernilai agar Malaysia terus menjadi negara Islam contoh yang didiami masyarakat berbilang agama, kaum dan budaya.
Seperkara lagi, adalah amat istimewa lagi, saya secara peribadi mewakili Kerajaan Malaysia, merasa terhormat atas kesudian Al-Fadilatul Imamul Akbar Sheikh Al-Azhar melakukan lawatan rasmi ke Darul Quran JAKIM. Ia adalah satu penghormatan yang tidak ternilai kepada negara Malaysia kerana Darul Quran JAKIM adalah institusi tahfiz terunggul di Malaysia.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat berharap anak-anak pelajar semua akan tampil menjadi sebagai pendakwah yang menyampaikan ilmu dan membawa mesej-mesej kesederhanaan kepada masyarakat di negara Malaysia. Perkara ini amat penting untuk kita menangani isu-isu pemikiran ekstrem yang amat berbahaya dalam masyarakat.