Pertemuan bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan (JKSK)

Malam semalam saya bertemu Ahli-ahli Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan (JKSK), sebuah Jawatankuasa yang dilantik oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan diperkenan oleh Majlis Raja-Raja.
Apabila dilantik untuk memimpin Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), saya meletakkan keutamaan untuk membuat penambahbaikan dalam pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah.
Dengan penuh komited, saya menggerakkannya secara berfasa dan bertahap-tahap agar ia benar-benar terancang dan strategik.
Dengan penubuhan JKSK secara rasmi, ia bakal memberi nafas baharu kepada institusi kehakiman syariah untuk berkembang lebih efektif, berdaya saing, kukuh dan berwibawa.
Amat besar harapan saya agar satu perubahan besar dapat dilakukan terhadap institusi kehakiman syariah ini dalam menyelaras dan memperkasa undang-undang syariah di peringkat persekutuan dan juga negeri.
Saya juga percaya ahli-ahli yang dilantik merupakan ahli-ahli yang pakar dan memiliki ilmu, integriti, itqan, istiqamah dan ikhlas dalam membantu menggerakkan jawatankuasa semaksimum mungkin.
Selari dengan perkembangan Mahkamah Syariah, urusan dan hal ehwal berkaitan pendakwaan syariah, penguatkuasaan syariah dan guaman syarie juga hendaklah bergerak seiringan.
Pemerkasaan Mahkamah Syariah tidak boleh terpisah sama sekali dengan pendakwaan, penguatkuasaan dan guaman syarie kerana semuanya menjadi komponen penting serta berkait rapat dan memerlukan antara satu sama lain.
Kita merancang dan berusaha sehabis baik. Semoga Allah memberkati usaha ini.

Selamat Datang, Welcome